Tuesday, October 13, 2009

Sahifah Madinah Model Perundangan Islam.


Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna yang bukan sahaja menyentuh tentang kepercayaan dan ibadah menurut pengertian yang sempit dan terpisah daripada kehidupan tetapi juga mencakupi aspek sosial, ekonomi, politik dan pelbagai cabang undang-undang termasuk undang-undang perlembagaan dan pentadbiran. Al-Quran dan al-sunnah telah menyediakan asas-asas yang kukuh dan telah diterjemahkan dalam amalan perlembagaan pemerintahan Rasulullah dan khulafa’ al-rasyidun. Ahli-ahli perundangan terdahulu juga turut menulis tentang hal ini, terutama yang berlegar di sekitar persoalan khilafah atau imamah.


Undang-undang perlembagaan dan pentadbiran adalah salah satu bidang undang-undang yang sentiasa berkembang dan memerlukan kepada penyesuaian dengan keperluan manusia dan persekitaran yang berbeza. Oleh kerana Islam adalah agama yang releven untuk semua keadaan dan tempat, ia tidak membawa satu bentuk pemerintahan tertentu. Al-Quran dan hadis hanya membawa dasar-dasar pemerintahan ( mabadi al-hukmi ) secara umum dan tidak menetapkan suatu bentuk atau sistem pemerintahan tertentu secara khusus. Sementara dasar atau prinsip adalah sesuatu yang tetap dan kekal serta tidak berubah, soal perincian dan butiran tentang pelbagai aspek pemerintahan dan menentukannya berdasarkan kebijaksanaan, keperluan dan kesesuaian, asalkan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.



Tidak dapat dinafikan bahawa perlembagan adalah penting bagi sesebuah negara samada perlembagaan bertulis atau perlembagaan tidak bertulis. Jenis perlembagaan yang pertama adalah merupakan bentuk perlembagaan yang diterima oleh hampir seluruh negara di dunia termasuklah Malaysia. Sejarah perlembagaan bertulis bermula dengan Sahifah Madinah. Pada umumnya ahli undang-undang perlembagaan bersetuju bahawa perlembagaan ialah peraturan asas yang menentukan struktur atau bentuk sebuah negara, fungsi dan hubungan badan pemerintahan, perundangan dan kehakiman serta menggariskan hubungan badan-badan ini dengan rakyat dan hak-hak asasi mereka.



Unsur-unsur di atas terkandung dalam Sahifah Madinah walaupun ia diterjemahkan oleh penulis-penulis Barat dengan pelbagai nama. Walaupun negara Islam adalah berasaskan prinsip-prinsip Islam, tetapi ini bukan bermakna ia menafikan hak-hak non-Muslim atau golongan minoriti, sebaliknya menjadi tanggungjawab keagamaan yang dituntut oleh Islam itu sendiri agar pemerintah Islam memberi perlindungan hak dan keadilan kepada mereka. Ini jelas dapat dilihat dalam al-Quran dan sunnah serta Perlembagaan Madinah. Oleh kerana dalam soal kenegaraan, Islam hanya membawa dasar-dasar umum, maka ruang yang luas telah disediakan kepada pemerintah berasaskan ijtihad dan akal untuk membuat perincian dari segi perundangan dan prosedur bagi mencapai tujuan umum syariat. Rakyat diberi kebebasan dengan syarat tidak terkeluar dari nilai-nilai mulia dan batas yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment