Tuesday, October 13, 2009

Rasulullah Dalam Menerajui Sebuah Negara Islam.


Apabila kita menyebut tentang negara Islam, sudah pasti kita akan mengaitkannya dengan negara Islam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w sesudah penghijrahan secara besar-besaran yang dibuat oleh baginda bersama-sama pengikutnya yang setia. Negara Madinah yang dibentuk oleh Rasulullah ini menepati ciri-ciri sebuah negara Islam seperti yang telah digariskan oleh al-Quran. Secara ringkasnya dapatlah dinyatakan bahawa ciri-ciri tersebut meliputi keupayaan pemimpin sesebuah negara Islam untuk membentuk masyarakat yang benar-benar memelihara serta melaksanakan amalan yang diredhai Allah serta membenci kemungkaran dan berusaha membanterasnya.


Sebagai seorang ketua negara, Rasulullah mentadbir negara dengan begitu cekap sekali serta turut membuat penyelesaian yang sesuai bagi masalah-masalah politik yang penting, memelihara prestasi dan kebajikan pekerja. Selain daripada itu, baginda juga turut melantik gabenor-gabenor dan pentadbir untuk menjalankan urusan pentadbiran wilayah yang berada jauh dari pusat pemerintahan. Walaubagaimanapun, urusan ibu negara dan kawasan yang berada di sekitarnya dikendaikan sendiri oleh baginda. Selain mempamerkan kecekapan yang maksimum dalam urusan pentadbiran negara, baginda juga merupakan pemerintah tertinggi tentera yang berani dan juga hakim negara yang bijaksana.


Sebagai pemerintah tertinggi tentera, Rasulullah s.a.w berhadapan dengan tanggungjawab mempertahankan keselamatan diri dan harta setiap penduduk Madinah. Secara keseluruhannya baginda telah memimpin 28 ekspidisi, 12 daripadanya merupakan kempen besar untuk menentang kafir Quraisy, kabilah-kabilah yang berjiran dengan Madinah iaitu Bani Thaqif, Bani Hawazin, orang Yahudi dan Empayar Byzantium. Manakala sebagai ketua hakim pula, Rasulullah s.a.w telah membentuk dan mengendalikan badan kehakiman berasaskan sistem pentadbiran kehakiman yang digariskan oleh baginda dengan teliti. Hakim-hakim telah dilantik oleh baginda untuk ditempatkan di wilayah-wilayah di bawah jajahan Islam untuk menjalankan pengadilan dan penyelesaian kes-kes sivil serta jenayah. Urusan kehakiman di negara Madinah dan kawasan yang berada di sekitarnya dilakukan sendiri oleh baginda.


Dalam tempoh pentadbiran Raslullah di Madinah, baginda berjaya mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam negara Madinah di samping berjaya menjalinkan hubungan yang baik dengan negara luar. Baginda terkenal sebagai seorang yang dermawan dan prihatin terhadap setiap tetamu yang mengunjunginya serta turut meraikan tetamu luar negara yang terdiri daripada utusan-utusan agama dan politik dari seluruh semenanjung Tanah Arab dengan penuh mesra. Keadaan ini menunjukkan bahawa hubungan diplomatik dan hubungan antarabangsa dengan negara luar telah diasaskan oleh Rasulullah dengan begitu mantap dan berkesan. Seterusnya bagi memantapkan lagi hubungan dengan bangsa lain dan negara luar, baginda telah mengadakan pelbagai perjanjian dengan banyak pihak antaranya ialah perjanjian pertama yang dibuat dengan orang Yahudi Khaibar, Fadak, Wadi al-Qura dan Tima’. Perjanjian yang lain adalah perjanjian dengan orang Kristian Najran dengan syarat mereka membayar jizyah dan sebagai imbalannya, nyawa dan harta mereka dilindungi oleh kerajaan Islam.


Kejayaan pentadbiran negara Madinah seharusnya dapat kita jadikan sebagai contoh khususnya dalam mewujudkan hubungan dan kerjasama yang padu antara rakyat berbilang agama dan kaum. Jika perkara ini dapat kita lakukan maka sudah pasti kita dapat mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial berlandaskan kepada. Dalam realiti hari ini, kita amat berharap agar negara dapat mengharungi segala macam cabaran dengan semangat rakyat yang waja dan keinginan yang mendalam untuk bersama-sama membangunkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya prinsip dan etika Islam yang sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menguruskan pentadbiran sebuah negara.

2 comments:

  1. sememangnya kita sbg umat Islam tidak menafikan bahawa pmerintahan yg dibawa oleh baginda s.a.w merupakan satu pmbaharuan terhadap umat ISLAM pada masa dahulu dan dengan itulah kita pada masa kini dpt mengecapinya..sbg pemimpin baginda bertnggungjawab trhdp sluruh umatnya..inilah ciri2 yg perlu ada bg ketua pemimpin dan harus dikagumi oleh seluruh umat Islam.

    ReplyDelete
  2. Dalam pembentukan sesebuah negara Islam,pihak pemerintah sememangnya memainkan peranan yang cukup penting kerana mereka merupakan teraju utama yang akan mentadbir negara.Rasulullah s.a.w sebagai contohnya telah mentadbir negara dengan begitu cekap sekali di samping membuat penyelesaian yang sesuai terhadap masalah-masalah politik yang berlaku serta turut memelihara kebajikan rakyatnya.Pendekatan yang telah digunakan oleh Rasulullah ialah baginda telah melantik gabenor-gabenor dan pentadbir untuk menjalankan urusan pentadbiran di wilayah yang berada jauh dari pusat pemerintahan. Sesungguhnya,Rasulullah merupakan contoh yang terbaik buat seluruh umat manusia.

    ReplyDelete