Tuesday, October 13, 2009

Teguhkan Akidah, Bangunkan Ummah !


Insan yang cemerlang dan berkualiti merujuk kepada kemantapan akidah serta kekuatan akhlak dan asas ini diambil daripada sejarah di zaman Rasulullah yang memperkasakan tauhid serta menyempurnakan akhlak masyarakat jahiliah pada ketika itu. Pembentukan akhlak dan akidah Islamiah adalah sangat penting dalam membentuk masyarakat yang dapat melaksanakan kewajiban amar makruf dan nahi munkar.


Pembinaan akidah adalah sangat penting bagi seseorang manusia dan akidah ini diibaratkan sebagai pancang antara manusia dengan Pencipta. Sekiranya pancang ini teguh dengan keyakinan dan kefahaman bahawa Allah adalah segala sumber, maka pergantungan manusia kepada Pencipta serta membina jiwa yang mempunyai rasa kehambaan terhadap khaliqnya adalah tinggi. Inilah asas bina insan yang penting iaitu sifat patuh, taat dan tunduk kepada Allah.


Timbulnya konflik di kalangan manusia adalah disebabkan oleh ketidakpatuhan terhadap suruhan, batasan dan larangan Allah sebaliknya menjadi manusia yang ingkar dan sering melampaui batas dalam amalan dan perbuatan. Justeru itu, jelas menunjukkan bahawa akidah yang mantap perlu dipupuk sejak awal lagi terutamanya dalam jiwa kanak-kanak kerana ia memainkan peranan yang penting dalam memelihara manusia daripada melanggar perintah Allah serta membina ummah yang cemerlang yang sentiasa berjuang dalam menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.

Peranan Ibu Sebagai Pendidik Dan Pendakwah Dalam Keluarga.


Pendidikan adalah tunggak kepada pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, malah pendidikan juga yang akan menentukan sesebuah masyarakat itu terbentuk menjadi masyarakat bertamadun dari segi fizikal dan rohaninya. Pendidikan berlaku secara berterusan sepanjang hayat di mana manusia sentiasa mempelajari sesuatu. Pendidikkan bukan hanya beerti menguasai ilmu atau kemahiran, tetapi juga mencakupi pengalaman-pengalaman yang didapati diluar institusi formal. Pendidikan bermula dengan pendidikan tidak formal diperingkat kanak-kanak kepada pendidikan formal di sekolah, seterusnya pendidikan non-formal selepas peringkat sekolah.


Setiap pendidikan bermula di rumah iaitu pendidikan tidak formal sebelum kanak-kanak menapak kaki ke sekolah. Pendidikan pada peringkat ini adalah sangat penting kerana ianya menjadi asas kepada pembangunan diri seseorang kanak-kanak tersebut. Seorang ibu memainkan peranan yang sangat penting sebagai seorang pendidik dan juga pendakwah terhadap anak-anaknya kerana ibu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan anak-anaknya dan setiap amalan, pertuturan serta tingkahlaku seorang ibu akan diperhatikan oleh anak dan secara langsung terpahat dalam hati dan jiwanya.


Oleh kerana pendidikan tidak formal di rumah ini memberi impak yang sangat besar dalam penbentukkan sahsiah dan peribadi anak-anak, maka seorang ibu yang bergelar pendidik dan pendakwah ini perlu memainkan peranan dalam menyemai serta menanam asas penghayatan Islam yang syumul dalam diri anak-anak. Anak-anak perlu dilatih dan dididik supaya berakhlak mulia, mengajar mengenal dan membaca al-Quran, mendidik mereka dengan iman dan tauhid, membimbing mereka melakukan amal ibadah seperti solat dan puasa, menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti menipu dan mencuri serta mengajar mereka asas-asas dalam menguruskan diri dalam kehidupan.


Wanita mempunyai peranan yang besar dalam mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang beriman dan bertaqwa. Peranan ini mesti dilaksanakan oleh semua wanita yang bergelar ibu agar anak-anak yang dilahirkan diberi didikan dan kefahaman tentang asas-asas ajaran Islam dengan sempurna. Proses mendidik dan mentarbiyyah anak-anak ini mempunyai satu matlamat yang utama iaitu untuk membawa manusia mengenal penciptanya, mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah, melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Oleh itu, didikan yang berasaskan Islam ini menjadi sesuatu yang amat penting untuk dilaksanakan kerana ianya akan mencorak dan membentuk sebuah generasi Islam yang bukan sahaja cemerlang dari sudut luaran tetapi juga mantap dari sudut jiwa dan kerohaniannya.


Bangkitnya wanita dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik dan juga berdakwah terhadap keluarga bererti menyediakan barisan pelapis generasi muda yang bersedia memperjuangkan kefahaman Islam yang sebenar pada masa akan datang serta membawa kepada kedamaian, kemakmuran dan kecemerlangan sesuatu ummah apabila mereka berusaha untuk menterjemahkan al-Quran dan al-sunnah secara praktik dalam kehidupan seharian
.

Ayuh, Tegakkan Ekonomi Islam !


Islam melihat urusan ekonomi sebagai sebahagian daripada tuntutan pengendalian negara yang lain seperti politik, pendidikan, kehakiman, kebudayaan dan sebagainya. Penyusunan ekonomi negara itu memerlukan kepada semangat menjadikan Islam sebagai asas dalam pengendalian dan pembangunan negara secara komprehensif. Islam sebagai agama anutan masyarakat Melayu yang sudah lama bertapak di Malaysia, namun sistem pengendalian negara yang berasaskan Islam dalam bentuk yang menyeluruh dan dinamik belum diberi peluang berperanan secara mutlak. Proses de-Islamisasi yang dijalankan oleh kuasa penjajah telah berjaya membendung kemaraan umat Islam ke mercu paras kefahaman dan pelaksanaan Islam secara komprehensif. Akhirnya Islam hanya difahami sebagai keperluan ritual dan hanya menyentuh hal ehwal peribadi.


Sejak mutakhir ini, terdapat kesedaran masyarakat Islam di serata dunia yang mana kembali berusaha untuk membangunkan keagungan Islam sebagai satu cara hidup dan Islam kembali mempengaruhi dialog ideologi masa kini. Penyusunan sistem ekonomi tidak terkecuali daripada perbincangan tersebut. Di Malaysia beberapa polisi telah diambil yang bersesuaian dengan semangat Islam dalam mengendalikan urusan ekonomi negara. Contohnya dari segi polisi, membangunkan perbankan Islam, usaha membasmi kemiskinan mutlak, memupuk budaya cemerlang melalui peningkatan produktiviti pekerja, usaha menstabilkan paras harga barangan, usaha mencapai guna tenaga penuh dan lain-lain lagi.


Semangat ekonomi Islam jika dilaksanakan akan menguntungkan semua pihak sama ada yang beragama Islam atau non-Muslim. Pendekatannya yang berasaskan kepada keadilan dan ekonomi kerjasama menepati sifat kemanusiaan semulajadi. Di samping itu, ia juga mempunyai ciri-ciri yang positif terhadap kegiatan ekonomi yang merupakan prasyarat kepada kemakmuran ekonomi negara. Islam telah mengemukakan garis panduan umum dalam penyusunan sesebuah ekonomi dan pendekatannya sesuai dan berunsur progresif dalam memajukan masyarakat manusia yang melintasi batasan tempat dan masa.

Rasulullah Dalam Menerajui Sebuah Negara Islam.


Apabila kita menyebut tentang negara Islam, sudah pasti kita akan mengaitkannya dengan negara Islam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w sesudah penghijrahan secara besar-besaran yang dibuat oleh baginda bersama-sama pengikutnya yang setia. Negara Madinah yang dibentuk oleh Rasulullah ini menepati ciri-ciri sebuah negara Islam seperti yang telah digariskan oleh al-Quran. Secara ringkasnya dapatlah dinyatakan bahawa ciri-ciri tersebut meliputi keupayaan pemimpin sesebuah negara Islam untuk membentuk masyarakat yang benar-benar memelihara serta melaksanakan amalan yang diredhai Allah serta membenci kemungkaran dan berusaha membanterasnya.


Sebagai seorang ketua negara, Rasulullah mentadbir negara dengan begitu cekap sekali serta turut membuat penyelesaian yang sesuai bagi masalah-masalah politik yang penting, memelihara prestasi dan kebajikan pekerja. Selain daripada itu, baginda juga turut melantik gabenor-gabenor dan pentadbir untuk menjalankan urusan pentadbiran wilayah yang berada jauh dari pusat pemerintahan. Walaubagaimanapun, urusan ibu negara dan kawasan yang berada di sekitarnya dikendaikan sendiri oleh baginda. Selain mempamerkan kecekapan yang maksimum dalam urusan pentadbiran negara, baginda juga merupakan pemerintah tertinggi tentera yang berani dan juga hakim negara yang bijaksana.


Sebagai pemerintah tertinggi tentera, Rasulullah s.a.w berhadapan dengan tanggungjawab mempertahankan keselamatan diri dan harta setiap penduduk Madinah. Secara keseluruhannya baginda telah memimpin 28 ekspidisi, 12 daripadanya merupakan kempen besar untuk menentang kafir Quraisy, kabilah-kabilah yang berjiran dengan Madinah iaitu Bani Thaqif, Bani Hawazin, orang Yahudi dan Empayar Byzantium. Manakala sebagai ketua hakim pula, Rasulullah s.a.w telah membentuk dan mengendalikan badan kehakiman berasaskan sistem pentadbiran kehakiman yang digariskan oleh baginda dengan teliti. Hakim-hakim telah dilantik oleh baginda untuk ditempatkan di wilayah-wilayah di bawah jajahan Islam untuk menjalankan pengadilan dan penyelesaian kes-kes sivil serta jenayah. Urusan kehakiman di negara Madinah dan kawasan yang berada di sekitarnya dilakukan sendiri oleh baginda.


Dalam tempoh pentadbiran Raslullah di Madinah, baginda berjaya mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam negara Madinah di samping berjaya menjalinkan hubungan yang baik dengan negara luar. Baginda terkenal sebagai seorang yang dermawan dan prihatin terhadap setiap tetamu yang mengunjunginya serta turut meraikan tetamu luar negara yang terdiri daripada utusan-utusan agama dan politik dari seluruh semenanjung Tanah Arab dengan penuh mesra. Keadaan ini menunjukkan bahawa hubungan diplomatik dan hubungan antarabangsa dengan negara luar telah diasaskan oleh Rasulullah dengan begitu mantap dan berkesan. Seterusnya bagi memantapkan lagi hubungan dengan bangsa lain dan negara luar, baginda telah mengadakan pelbagai perjanjian dengan banyak pihak antaranya ialah perjanjian pertama yang dibuat dengan orang Yahudi Khaibar, Fadak, Wadi al-Qura dan Tima’. Perjanjian yang lain adalah perjanjian dengan orang Kristian Najran dengan syarat mereka membayar jizyah dan sebagai imbalannya, nyawa dan harta mereka dilindungi oleh kerajaan Islam.


Kejayaan pentadbiran negara Madinah seharusnya dapat kita jadikan sebagai contoh khususnya dalam mewujudkan hubungan dan kerjasama yang padu antara rakyat berbilang agama dan kaum. Jika perkara ini dapat kita lakukan maka sudah pasti kita dapat mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial berlandaskan kepada. Dalam realiti hari ini, kita amat berharap agar negara dapat mengharungi segala macam cabaran dengan semangat rakyat yang waja dan keinginan yang mendalam untuk bersama-sama membangunkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya prinsip dan etika Islam yang sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menguruskan pentadbiran sebuah negara.

Hayatilah Islam Dalam Hidupmu !


Sungguhpun dunia bukan Islam begitu maju dalam bidang perindustrian, pertanian dan tamadun, namun di sana masih terdapat banyak kekurangan di dalam tamadun dan kemajuan yang mereka bina itu akibat daripada tiadanya penghayatan terhadap agama. Jiwa mereka kosong, mempunyai kepercayaan dan akidah yang menyimpang serta gersang dengan nilai-nilai manusia secara menyeluruh. Kalau terdapat sesetengah nilai, itupun hanya terbatas kepada satu bangsa, kaum atau jamaah sahaja tetapi tidak terdapat pada yang lain.


Kekosongan rohani dan tiada penghayatan agama merupakan punca berlakunya kegoncangan jiwa dan kegelisahan dalam masyarakat sekaligus menyebabkan banyak berlakunya kes-kes seperti bunuh diri dan jenayah.
Ini kerana hilangnya keamanan serta kelapangan hati yang menjadi punca kepada kegelisahan jiwa. Keadaan ini membuatkan manusia amat memerlukan kepada penghayatan dalam agama yang mana ianya merupakan risalah yang seimbang antara tuntutan rohani dan keperluan kebendaan.


Tamadun sesuatu bangsa bukan hanya diukur dari sudut kemajuan kebendaan dan kehebatan dalam pembangunan semata-mata tetapi juga perlu kepada kecemerlangan dari sudut kerohanian dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, maka akan wujudlah kebahagian dan keharmonian dalam jiwa manusia di samping mengecapi segala bentuk kemajuan dengan penuh kesyukuran kepada Allah. Penghayatan terhadap agama Islam akan melahirkan masyarakat yang sentiasa melakukan apa jua pekerjaan semata-mata kerana Allah serta tidak melakukan kerosakkan di atas muka bumi ini dengan sewenang-wenangnya.


Pemikiran dan penghayatan terhadap ajaran Islam secara kemas dan padu telah berjaya mewujudkan kegemilangan pada era kebangkitan Islam suatu masa dahulu dan ini menjadi bukti bahawa Islam adalah agama kekuatan, kemuliaan, kemajuan, revolusi dan ketamadunan. Islam mempunyai manhaj yang tersendiri yang seimbang dalam kehidupan berekonomi dan bersosial tanpa perlu bengantung kepada sesiapa. Kesimpulannya, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan akan menjadi penyelamat kepada manusia daripada kesesatan dan ia juga akan mengangkat darjat manusia ke peringkat yang tinggi dan mulia.

Pembentukan Keluarga Islam.



Pelbagai krisis yang melanda masyarakat Islam pada hari ini seperti tingginya kadar penceraian, kes penderaan dalam rumahtangga, keruntuhan moral di kalangan anak-anak remaja, penagihan dadah dan sebagainya amat membimbangkan pelbagai pihak. Segala masalah ini dikatakan berpunca daripada kurangnya pemahaman tentang konsep kekeluargaan Islam serta pengabaian terhadap melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan keluarga yang sihat dari segi jasmani dan mantap rohaninya mengikut apa yang telah digariskan dalam ajaran Islam.


Keluarga bukan sahaja menjadi satu tempat bagi pembentukkan individu yang berkualiti tetapi juga merupakan pemangkin ke arah pembangunan ummah yang terbaik kerana keluarga merupakan unit-unit terkecil yang akan membentuk masyarakat dan bangsa. Oleh yang demikian, setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membentuk keluarga yang berlandaskan kepada syariat Islam.


Seorang suami seharusnya menjadi ketua keluarga yang mampu untuk membimbing isteri dan anak-anak agar melakukan segala perintah Allah dan mencegah mereka daripada melakukan maksiat serta perbuatan yang keji dan tercela. Demikian juga seorang isteri bertanggungjawab menjadi pendorong kepada suami agar mencari rezeki yang halal dan sentiasa berbuat kebajikan di samping menjadi pendidik kepada anak-anak. Sekiranya tanggungjawab ini dilaksanakan dengan baik berasaskan kepada ajaran Islam yang sebenar, maka pembentukan keluarga yang harmoni, saling berkasih-sayang dan sentiasa menjalankan perintah Allah akan dapat diwujudkan.

Peranan Muslimah Berdakwah Melalui Politik.


Politik dan dakwah adalah dua perkara yang begitu sensitif dan penting di kalangan masyarakat Islam. Kehidupan masyarakat Islam tidak dapat dipisahkan daripada kedua-dua aspek ini. Maju dan mundurnya masyarakat Islam bergantung kepada kuat atau tidaknya politik umat Islam ataupun meratanya penghayatan nilai dakwah dalam masyarakat Islam. Islam tidak memisahkan antara soal keduniaan dan keagamaan dengan politik bahkan politik dianggap sebagai wasilah atau jalan yang boleh membawa maksud tercapainya matlamat memartabatkan agama. Ibnu Taimiyyah dalam kitabya al-Siyasah al-Syar’iyyah menjelaskan bahawa kuasa
( dalam politik ) dan harta adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ia bermatlamat untuk mewujudkan kebaikkan dan kemashlahatan kepada agama dan dunia



Islam memberi hak kepada wanita untuk bersuara, memberi pendapat dan mentaati pemimpin. Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 60, menceritakan tentang Bai’ah al-Nisa’ dimana wanita telah memberikan pengakuan taat setia kepada Rasulullah sebagai pemimpin pada masa itu. Hal ini menjadi bukti bahawa wanita juga mempunyai peranan dalam dunia politik. Wanita disarankan agar bertanding dalam pilihanraya bagi merebut kerusi di parlimen agar mereka juga dapat bersuara bagi menyatakan cadangan atau pandangan terhadap tindakan kerajaan atau parlimen melalui ucapan, penulisan, memorandum dan sebagainya serta membasmi penyelewengan yang berlaku dalam politik seperti rasuah dan memilih calon yang sesuai berdasarkan undian ramai. Perkara ini dapat membantu kerajaan dalam usaha menegakkan kebaikkan dan membanteras kejahatan.



Situasai hari ini menuntut wanita Islam melibatkan diri dalam bidang politik dan bertanding dalam pilihanraya. Tujuan utama politik Islam adalah menegakkan hukum Allah di atas muka bumi dan wanita mempunyai hak yang tersendiri dalam merealisasikan semua tujuan ini. Kemampuan luar biasa yang dimiliki oleh wanita seperti petah dalam berbicara, menggunakan bahasa yang mudah difahami ketika bertutur serta mempunyai cara penyampaian idea yang jelas dan bernas menjadikan agenda politik mereka cukup berkesan dan mudah diterima umum. Kelebihan ini sepatutnya dijadikan sebagai satu kekuatan untuk berdakwah dalam politik dan menjadikan orang ramai mudah tertarik dengan dakwah mereka. Tugas menjaga dan menerapkan syariat Islam dalam pemerintahan dan politik merupakan satu kewajipan bagi seluruh umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita dan disinilah sebenarnya ruang yang diberikan Allah kepada pendakwah wanita untuk merealisasikan tugas mereka sebagai penyeru kepada agama Allah.

Sahifah Madinah Model Perundangan Islam.


Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna yang bukan sahaja menyentuh tentang kepercayaan dan ibadah menurut pengertian yang sempit dan terpisah daripada kehidupan tetapi juga mencakupi aspek sosial, ekonomi, politik dan pelbagai cabang undang-undang termasuk undang-undang perlembagaan dan pentadbiran. Al-Quran dan al-sunnah telah menyediakan asas-asas yang kukuh dan telah diterjemahkan dalam amalan perlembagaan pemerintahan Rasulullah dan khulafa’ al-rasyidun. Ahli-ahli perundangan terdahulu juga turut menulis tentang hal ini, terutama yang berlegar di sekitar persoalan khilafah atau imamah.


Undang-undang perlembagaan dan pentadbiran adalah salah satu bidang undang-undang yang sentiasa berkembang dan memerlukan kepada penyesuaian dengan keperluan manusia dan persekitaran yang berbeza. Oleh kerana Islam adalah agama yang releven untuk semua keadaan dan tempat, ia tidak membawa satu bentuk pemerintahan tertentu. Al-Quran dan hadis hanya membawa dasar-dasar pemerintahan ( mabadi al-hukmi ) secara umum dan tidak menetapkan suatu bentuk atau sistem pemerintahan tertentu secara khusus. Sementara dasar atau prinsip adalah sesuatu yang tetap dan kekal serta tidak berubah, soal perincian dan butiran tentang pelbagai aspek pemerintahan dan menentukannya berdasarkan kebijaksanaan, keperluan dan kesesuaian, asalkan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.



Tidak dapat dinafikan bahawa perlembagan adalah penting bagi sesebuah negara samada perlembagaan bertulis atau perlembagaan tidak bertulis. Jenis perlembagaan yang pertama adalah merupakan bentuk perlembagaan yang diterima oleh hampir seluruh negara di dunia termasuklah Malaysia. Sejarah perlembagaan bertulis bermula dengan Sahifah Madinah. Pada umumnya ahli undang-undang perlembagaan bersetuju bahawa perlembagaan ialah peraturan asas yang menentukan struktur atau bentuk sebuah negara, fungsi dan hubungan badan pemerintahan, perundangan dan kehakiman serta menggariskan hubungan badan-badan ini dengan rakyat dan hak-hak asasi mereka.



Unsur-unsur di atas terkandung dalam Sahifah Madinah walaupun ia diterjemahkan oleh penulis-penulis Barat dengan pelbagai nama. Walaupun negara Islam adalah berasaskan prinsip-prinsip Islam, tetapi ini bukan bermakna ia menafikan hak-hak non-Muslim atau golongan minoriti, sebaliknya menjadi tanggungjawab keagamaan yang dituntut oleh Islam itu sendiri agar pemerintah Islam memberi perlindungan hak dan keadilan kepada mereka. Ini jelas dapat dilihat dalam al-Quran dan sunnah serta Perlembagaan Madinah. Oleh kerana dalam soal kenegaraan, Islam hanya membawa dasar-dasar umum, maka ruang yang luas telah disediakan kepada pemerintah berasaskan ijtihad dan akal untuk membuat perincian dari segi perundangan dan prosedur bagi mencapai tujuan umum syariat. Rakyat diberi kebebasan dengan syarat tidak terkeluar dari nilai-nilai mulia dan batas yang telah ditetapkan.

Ilmu, Amal Dan Islam.


Ketinggian dalam bidang keilmuan bukan hanya dilihat dari sudut sejauh mana hasil yang dicapai oleh manusia dalam penciptaan alat-alat yang serba canggih dan moden tetapi ia sebenarnya diukur dari segi keperibadian individu itu sendiri. Nilai-nilai murni perlulah diwujudkan terlebih dahulu dalam diri seseorang agar ia menjadi serasi dengan keperibadian yang baik.


Setiap keilmuan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri seperti keilmuan Barat contohnya, mempunyai sekularisme yang memisahkan agama dari pemerintahan negara dan menjadikan agama itu sebagai suatu perkara tersendiri yang asing daripada unsur-unsur politik, ekonomi, sosial, perundangan, kehakiman, dan kebebasan umum. Begitu juga dengan komunisme yang mana konsep keilmuannya hampir sama dengan keilmuan Barat. Semuanya menjurus ke arah mengingkari keimanan kepada Allah dan mewujudkan fahaman ‘tiada Tuhan’ dalam diri setiap manusia. Keilmuan Kristian pula telah mengubah isi kandungan sumber keilmuan yang sebenar yang terdapat di dalam kitab Injil sehinggakan mereka sanggup mempertuhankan manusia.


Semua itu amat berlainan sekali dengan keilmuan Islam kerana keilmuan Islam itu adalah suatu konsep yang dibina di atas dasar tauhid dan penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Allah tanpa dipengaruhi oleh sebarang unsur syirik. Ia merupakan satu konsep yang mengutamakan keimanan terhadap Tuhan Yang Maha Esa dan perkara-perkara ghaib sepertimana yang telah dikhabarkan-Nya melalui al-Quran dan sunnah rasul-Nya. Daripada aqidah inilah munculnya satu syariat yang menyusun perhubungan di antara seseorang individu Muslim dengan Penciptanya dan menentukan cara peribadatan yang sebenar seperti sembahyang, zakat, puasa, haji dan sebagainya.


Perlu dinyatakan disini bahawa keilmuan Islam sesekali tidak pernah diambil daripada golongan-golongan bukan Islam seperti Yahudi, Kristian, dan orientalis lebih-lebih lagi mereka ini tidak beriman dan bertaqwa kepada Allah. Setiap individu perlu menyemat ke dalam mindanya bahawa keilmuan Islam tidak pernah dipetik atau ditiru daripada sesiapa dan sumbernya hanyalah kitab Allah, sunnah nabawiyyah, ijmak dan qias yang mana semua itu adalah petunjuk daripada Allah. Menurut pemikiran yang waras, keilmuan sesuatu bangsa itu menggambarkan keperibadian dan kepercayaan bangsa itu sendiri. Oleh yang demikian, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk mengambil keilmuan barat, orientalis, Kristian dan Yahudi lalu dicampur-adukan dengan konsep keilmuan Islam. Perkara yang sedemikian boleh memusnah dan menghilangkan personaliti Islam itu sendiri.


Walaubagaimanapun, umat Islam boleh mempelajari daripada golongan non-Muslim tentang keilmuan-keilmuan yang berbentuk keduniaan semata-mata seperti ilmu kimia, fizik, biologi, astronomi dan sebagainya. Semua ini adalah ilmu-ilmu yang tiada kaitan dengan aqidah, syariat dan keperibadian khusus dalam membina syakhsiah diri dan masyarakat. Rasulullah pernah mengutuskan beberapa orang sahabat untuk pergi ke Jerash semata-mata untuk mempelajari cara-cara membuat perisai. Setelah mereka benar-benar mahir, maka baginda pun menggunakan alat tersebut untuk menawan negeri Thaif.


Setiap orang Islam mestilah mengambil faedah daripada hasil ciptaan manusia dalam pelbagai cabang ilmu seperti radio, televisyen, komputer dan sebagainya serta perlu memanfaatkanya ke jalan yang betul untuk kepentingan dan pembangunan ummah. Penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang keilmuan adalah amat penting pada masa kini agar negara Islam dapat berkembang maju di samping meningkatkan kedudukan umat Islam di mata dunia.

Mahasiswa Jangan Hilang Adab !


Mempamerkan budi bahasa yang baik dan berakhlak mulia merupakan tuntutan hidup yang perlu wujud dalam diri setiap individu walau ke mana kakinya melangkah. Namun sejak akhir-akhir ini terdengar omelan daripada beberapa orang tua yang kurang menyenangi sikap anak-anak muda tatkala berurusan dengan mereka. Apa yang lebih dikesalkan adalah, kebanyakkan anak-anak muda itu berpendidikan tinggi yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi universiti.


“ Tak tahu saya, tanyalah orang lain, saya bukannya kaunter pertanyaan. Nun, dekat bangunan pentadbiran ada PR universiti, pergilah tanya.” Tegas dan kasar anak muda itu menutur kata. Mahasiswa yang berbadan tegap dan agak segak itu berlalu pergi dengan angkuh. Demikianlah di antara fenomena yang berlaku di kalangan mahasiswa masa kini. Walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi, namun terdapat segelintir daripada mahasiswa mempunyai tingkahlaku yang buruk serta tidak menghormati orang lain.


Adab yang baik menjadi cerminan bagi seseorang individu untuk berada di gelanggang kehidupan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :


“ Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan ( pada hari kiamat ) dari akhlak yang baik.”


Justeru itu mahasiswa masa kini tidak boleh memandang remeh terhadap adab dan akhlak dalam kehidupan seharian. Ilmu yang diperolehi perlu dimanfaatkan dan apa sahaja masalah yang membelenggu diri tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap kasar kepada orang lain.Kemahiran berinteraksi, kebijaksanaan dalam mengawal emosi dan kesungguhan memperkukuhkan kesucian hati seharusnya dipasak setiap masa agar akhlak terpelihara dan tingkah laku sentiasa terjaga.