Tuesday, October 13, 2009

Hayatilah Islam Dalam Hidupmu !


Sungguhpun dunia bukan Islam begitu maju dalam bidang perindustrian, pertanian dan tamadun, namun di sana masih terdapat banyak kekurangan di dalam tamadun dan kemajuan yang mereka bina itu akibat daripada tiadanya penghayatan terhadap agama. Jiwa mereka kosong, mempunyai kepercayaan dan akidah yang menyimpang serta gersang dengan nilai-nilai manusia secara menyeluruh. Kalau terdapat sesetengah nilai, itupun hanya terbatas kepada satu bangsa, kaum atau jamaah sahaja tetapi tidak terdapat pada yang lain.


Kekosongan rohani dan tiada penghayatan agama merupakan punca berlakunya kegoncangan jiwa dan kegelisahan dalam masyarakat sekaligus menyebabkan banyak berlakunya kes-kes seperti bunuh diri dan jenayah.
Ini kerana hilangnya keamanan serta kelapangan hati yang menjadi punca kepada kegelisahan jiwa. Keadaan ini membuatkan manusia amat memerlukan kepada penghayatan dalam agama yang mana ianya merupakan risalah yang seimbang antara tuntutan rohani dan keperluan kebendaan.


Tamadun sesuatu bangsa bukan hanya diukur dari sudut kemajuan kebendaan dan kehebatan dalam pembangunan semata-mata tetapi juga perlu kepada kecemerlangan dari sudut kerohanian dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, maka akan wujudlah kebahagian dan keharmonian dalam jiwa manusia di samping mengecapi segala bentuk kemajuan dengan penuh kesyukuran kepada Allah. Penghayatan terhadap agama Islam akan melahirkan masyarakat yang sentiasa melakukan apa jua pekerjaan semata-mata kerana Allah serta tidak melakukan kerosakkan di atas muka bumi ini dengan sewenang-wenangnya.


Pemikiran dan penghayatan terhadap ajaran Islam secara kemas dan padu telah berjaya mewujudkan kegemilangan pada era kebangkitan Islam suatu masa dahulu dan ini menjadi bukti bahawa Islam adalah agama kekuatan, kemuliaan, kemajuan, revolusi dan ketamadunan. Islam mempunyai manhaj yang tersendiri yang seimbang dalam kehidupan berekonomi dan bersosial tanpa perlu bengantung kepada sesiapa. Kesimpulannya, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan akan menjadi penyelamat kepada manusia daripada kesesatan dan ia juga akan mengangkat darjat manusia ke peringkat yang tinggi dan mulia.

1 comment:

  1. masalah yg timbul di dalam diri umat islam sekarang iaitu kurangnya penghayatan tentang agama islam dan disebabkan itu byk timbulnya msalah sosial diklgn anak2 remaja zaman skrg..anak2 remaja skrg perlu didedahkan dgn unsur2 keagamaan cthnya dgn mengadakan bengkel2 ttg solat,forum2 agama dan byk lg bnda yg boleh bg manfaat agr mrk tidak menyimpang bgitu jauh dr keagamaan.

    ReplyDelete