Tuesday, October 13, 2009

Ilmu, Amal Dan Islam.


Ketinggian dalam bidang keilmuan bukan hanya dilihat dari sudut sejauh mana hasil yang dicapai oleh manusia dalam penciptaan alat-alat yang serba canggih dan moden tetapi ia sebenarnya diukur dari segi keperibadian individu itu sendiri. Nilai-nilai murni perlulah diwujudkan terlebih dahulu dalam diri seseorang agar ia menjadi serasi dengan keperibadian yang baik.


Setiap keilmuan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri seperti keilmuan Barat contohnya, mempunyai sekularisme yang memisahkan agama dari pemerintahan negara dan menjadikan agama itu sebagai suatu perkara tersendiri yang asing daripada unsur-unsur politik, ekonomi, sosial, perundangan, kehakiman, dan kebebasan umum. Begitu juga dengan komunisme yang mana konsep keilmuannya hampir sama dengan keilmuan Barat. Semuanya menjurus ke arah mengingkari keimanan kepada Allah dan mewujudkan fahaman ‘tiada Tuhan’ dalam diri setiap manusia. Keilmuan Kristian pula telah mengubah isi kandungan sumber keilmuan yang sebenar yang terdapat di dalam kitab Injil sehinggakan mereka sanggup mempertuhankan manusia.


Semua itu amat berlainan sekali dengan keilmuan Islam kerana keilmuan Islam itu adalah suatu konsep yang dibina di atas dasar tauhid dan penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Allah tanpa dipengaruhi oleh sebarang unsur syirik. Ia merupakan satu konsep yang mengutamakan keimanan terhadap Tuhan Yang Maha Esa dan perkara-perkara ghaib sepertimana yang telah dikhabarkan-Nya melalui al-Quran dan sunnah rasul-Nya. Daripada aqidah inilah munculnya satu syariat yang menyusun perhubungan di antara seseorang individu Muslim dengan Penciptanya dan menentukan cara peribadatan yang sebenar seperti sembahyang, zakat, puasa, haji dan sebagainya.


Perlu dinyatakan disini bahawa keilmuan Islam sesekali tidak pernah diambil daripada golongan-golongan bukan Islam seperti Yahudi, Kristian, dan orientalis lebih-lebih lagi mereka ini tidak beriman dan bertaqwa kepada Allah. Setiap individu perlu menyemat ke dalam mindanya bahawa keilmuan Islam tidak pernah dipetik atau ditiru daripada sesiapa dan sumbernya hanyalah kitab Allah, sunnah nabawiyyah, ijmak dan qias yang mana semua itu adalah petunjuk daripada Allah. Menurut pemikiran yang waras, keilmuan sesuatu bangsa itu menggambarkan keperibadian dan kepercayaan bangsa itu sendiri. Oleh yang demikian, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk mengambil keilmuan barat, orientalis, Kristian dan Yahudi lalu dicampur-adukan dengan konsep keilmuan Islam. Perkara yang sedemikian boleh memusnah dan menghilangkan personaliti Islam itu sendiri.


Walaubagaimanapun, umat Islam boleh mempelajari daripada golongan non-Muslim tentang keilmuan-keilmuan yang berbentuk keduniaan semata-mata seperti ilmu kimia, fizik, biologi, astronomi dan sebagainya. Semua ini adalah ilmu-ilmu yang tiada kaitan dengan aqidah, syariat dan keperibadian khusus dalam membina syakhsiah diri dan masyarakat. Rasulullah pernah mengutuskan beberapa orang sahabat untuk pergi ke Jerash semata-mata untuk mempelajari cara-cara membuat perisai. Setelah mereka benar-benar mahir, maka baginda pun menggunakan alat tersebut untuk menawan negeri Thaif.


Setiap orang Islam mestilah mengambil faedah daripada hasil ciptaan manusia dalam pelbagai cabang ilmu seperti radio, televisyen, komputer dan sebagainya serta perlu memanfaatkanya ke jalan yang betul untuk kepentingan dan pembangunan ummah. Penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang keilmuan adalah amat penting pada masa kini agar negara Islam dapat berkembang maju di samping meningkatkan kedudukan umat Islam di mata dunia.

2 comments:

  1. ilmu-ilmu yg dibawa oleh islam merupakan satu keistimewaan islam.umat islam haruslah berbangga akan hal itu krn islam juga melahirkan ramai tokoh kelimuan islam..

    ReplyDelete
  2. Walaupun umat Islam mempelajari ilmu-ilmu yang berbentuk keduniaan,namun mereka tidak boleh mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan yang berkaitan dengan akidah,ibadah dan akhlak

    ReplyDelete