Tuesday, October 13, 2009

Sahifah Madinah Model Perundangan Islam.


Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna yang bukan sahaja menyentuh tentang kepercayaan dan ibadah menurut pengertian yang sempit dan terpisah daripada kehidupan tetapi juga mencakupi aspek sosial, ekonomi, politik dan pelbagai cabang undang-undang termasuk undang-undang perlembagaan dan pentadbiran. Al-Quran dan al-sunnah telah menyediakan asas-asas yang kukuh dan telah diterjemahkan dalam amalan perlembagaan pemerintahan Rasulullah dan khulafa’ al-rasyidun. Ahli-ahli perundangan terdahulu juga turut menulis tentang hal ini, terutama yang berlegar di sekitar persoalan khilafah atau imamah.


Undang-undang perlembagaan dan pentadbiran adalah salah satu bidang undang-undang yang sentiasa berkembang dan memerlukan kepada penyesuaian dengan keperluan manusia dan persekitaran yang berbeza. Oleh kerana Islam adalah agama yang releven untuk semua keadaan dan tempat, ia tidak membawa satu bentuk pemerintahan tertentu. Al-Quran dan hadis hanya membawa dasar-dasar pemerintahan ( mabadi al-hukmi ) secara umum dan tidak menetapkan suatu bentuk atau sistem pemerintahan tertentu secara khusus. Sementara dasar atau prinsip adalah sesuatu yang tetap dan kekal serta tidak berubah, soal perincian dan butiran tentang pelbagai aspek pemerintahan dan menentukannya berdasarkan kebijaksanaan, keperluan dan kesesuaian, asalkan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.



Tidak dapat dinafikan bahawa perlembagan adalah penting bagi sesebuah negara samada perlembagaan bertulis atau perlembagaan tidak bertulis. Jenis perlembagaan yang pertama adalah merupakan bentuk perlembagaan yang diterima oleh hampir seluruh negara di dunia termasuklah Malaysia. Sejarah perlembagaan bertulis bermula dengan Sahifah Madinah. Pada umumnya ahli undang-undang perlembagaan bersetuju bahawa perlembagaan ialah peraturan asas yang menentukan struktur atau bentuk sebuah negara, fungsi dan hubungan badan pemerintahan, perundangan dan kehakiman serta menggariskan hubungan badan-badan ini dengan rakyat dan hak-hak asasi mereka.



Unsur-unsur di atas terkandung dalam Sahifah Madinah walaupun ia diterjemahkan oleh penulis-penulis Barat dengan pelbagai nama. Walaupun negara Islam adalah berasaskan prinsip-prinsip Islam, tetapi ini bukan bermakna ia menafikan hak-hak non-Muslim atau golongan minoriti, sebaliknya menjadi tanggungjawab keagamaan yang dituntut oleh Islam itu sendiri agar pemerintah Islam memberi perlindungan hak dan keadilan kepada mereka. Ini jelas dapat dilihat dalam al-Quran dan sunnah serta Perlembagaan Madinah. Oleh kerana dalam soal kenegaraan, Islam hanya membawa dasar-dasar umum, maka ruang yang luas telah disediakan kepada pemerintah berasaskan ijtihad dan akal untuk membuat perincian dari segi perundangan dan prosedur bagi mencapai tujuan umum syariat. Rakyat diberi kebebasan dengan syarat tidak terkeluar dari nilai-nilai mulia dan batas yang telah ditetapkan.

Ilmu, Amal Dan Islam.


Ketinggian dalam bidang keilmuan bukan hanya dilihat dari sudut sejauh mana hasil yang dicapai oleh manusia dalam penciptaan alat-alat yang serba canggih dan moden tetapi ia sebenarnya diukur dari segi keperibadian individu itu sendiri. Nilai-nilai murni perlulah diwujudkan terlebih dahulu dalam diri seseorang agar ia menjadi serasi dengan keperibadian yang baik.


Setiap keilmuan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri seperti keilmuan Barat contohnya, mempunyai sekularisme yang memisahkan agama dari pemerintahan negara dan menjadikan agama itu sebagai suatu perkara tersendiri yang asing daripada unsur-unsur politik, ekonomi, sosial, perundangan, kehakiman, dan kebebasan umum. Begitu juga dengan komunisme yang mana konsep keilmuannya hampir sama dengan keilmuan Barat. Semuanya menjurus ke arah mengingkari keimanan kepada Allah dan mewujudkan fahaman ‘tiada Tuhan’ dalam diri setiap manusia. Keilmuan Kristian pula telah mengubah isi kandungan sumber keilmuan yang sebenar yang terdapat di dalam kitab Injil sehinggakan mereka sanggup mempertuhankan manusia.


Semua itu amat berlainan sekali dengan keilmuan Islam kerana keilmuan Islam itu adalah suatu konsep yang dibina di atas dasar tauhid dan penyerahan diri yang sepenuhnya kepada Allah tanpa dipengaruhi oleh sebarang unsur syirik. Ia merupakan satu konsep yang mengutamakan keimanan terhadap Tuhan Yang Maha Esa dan perkara-perkara ghaib sepertimana yang telah dikhabarkan-Nya melalui al-Quran dan sunnah rasul-Nya. Daripada aqidah inilah munculnya satu syariat yang menyusun perhubungan di antara seseorang individu Muslim dengan Penciptanya dan menentukan cara peribadatan yang sebenar seperti sembahyang, zakat, puasa, haji dan sebagainya.


Perlu dinyatakan disini bahawa keilmuan Islam sesekali tidak pernah diambil daripada golongan-golongan bukan Islam seperti Yahudi, Kristian, dan orientalis lebih-lebih lagi mereka ini tidak beriman dan bertaqwa kepada Allah. Setiap individu perlu menyemat ke dalam mindanya bahawa keilmuan Islam tidak pernah dipetik atau ditiru daripada sesiapa dan sumbernya hanyalah kitab Allah, sunnah nabawiyyah, ijmak dan qias yang mana semua itu adalah petunjuk daripada Allah. Menurut pemikiran yang waras, keilmuan sesuatu bangsa itu menggambarkan keperibadian dan kepercayaan bangsa itu sendiri. Oleh yang demikian, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk mengambil keilmuan barat, orientalis, Kristian dan Yahudi lalu dicampur-adukan dengan konsep keilmuan Islam. Perkara yang sedemikian boleh memusnah dan menghilangkan personaliti Islam itu sendiri.


Walaubagaimanapun, umat Islam boleh mempelajari daripada golongan non-Muslim tentang keilmuan-keilmuan yang berbentuk keduniaan semata-mata seperti ilmu kimia, fizik, biologi, astronomi dan sebagainya. Semua ini adalah ilmu-ilmu yang tiada kaitan dengan aqidah, syariat dan keperibadian khusus dalam membina syakhsiah diri dan masyarakat. Rasulullah pernah mengutuskan beberapa orang sahabat untuk pergi ke Jerash semata-mata untuk mempelajari cara-cara membuat perisai. Setelah mereka benar-benar mahir, maka baginda pun menggunakan alat tersebut untuk menawan negeri Thaif.


Setiap orang Islam mestilah mengambil faedah daripada hasil ciptaan manusia dalam pelbagai cabang ilmu seperti radio, televisyen, komputer dan sebagainya serta perlu memanfaatkanya ke jalan yang betul untuk kepentingan dan pembangunan ummah. Penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang keilmuan adalah amat penting pada masa kini agar negara Islam dapat berkembang maju di samping meningkatkan kedudukan umat Islam di mata dunia.

Mahasiswa Jangan Hilang Adab !


Mempamerkan budi bahasa yang baik dan berakhlak mulia merupakan tuntutan hidup yang perlu wujud dalam diri setiap individu walau ke mana kakinya melangkah. Namun sejak akhir-akhir ini terdengar omelan daripada beberapa orang tua yang kurang menyenangi sikap anak-anak muda tatkala berurusan dengan mereka. Apa yang lebih dikesalkan adalah, kebanyakkan anak-anak muda itu berpendidikan tinggi yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi universiti.


“ Tak tahu saya, tanyalah orang lain, saya bukannya kaunter pertanyaan. Nun, dekat bangunan pentadbiran ada PR universiti, pergilah tanya.” Tegas dan kasar anak muda itu menutur kata. Mahasiswa yang berbadan tegap dan agak segak itu berlalu pergi dengan angkuh. Demikianlah di antara fenomena yang berlaku di kalangan mahasiswa masa kini. Walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi, namun terdapat segelintir daripada mahasiswa mempunyai tingkahlaku yang buruk serta tidak menghormati orang lain.


Adab yang baik menjadi cerminan bagi seseorang individu untuk berada di gelanggang kehidupan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :


“ Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan ( pada hari kiamat ) dari akhlak yang baik.”


Justeru itu mahasiswa masa kini tidak boleh memandang remeh terhadap adab dan akhlak dalam kehidupan seharian. Ilmu yang diperolehi perlu dimanfaatkan dan apa sahaja masalah yang membelenggu diri tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap kasar kepada orang lain.Kemahiran berinteraksi, kebijaksanaan dalam mengawal emosi dan kesungguhan memperkukuhkan kesucian hati seharusnya dipasak setiap masa agar akhlak terpelihara dan tingkah laku sentiasa terjaga.